Jumat, 23 April 2010

Paradigma Hindu Terhadap Penciptaan




Om Swastyastu,

Waktu adalah waktu, waktu adalah peristiwa, waktu adalah sejarah. Hanya waktu yang dapat mengisahkan masa lalu, masa kini dan masa muka. Hanya waktu yang dapat mengisahkan peristiwa agung Mahabharata, sebuah kisah wira abadi. Waktu juga yang mengisahkan jatuh bangun suatu tamadun.

Waktulah yang mengisahkan permusuhan antara kebaikan melawan kejahatan. Mahabharata adalah kisah vidya - cahaya melawan avidya - kegelapan. Tidak ada yang dapat mengisahkan karya agung dalam agama Hindu ini kecuali waktu. Sebab waktulah yang menjadi saksi sejarah, mengenai pahlawan yang terlibat dalam semua peristiwa.

Mahabharata adalah kisah Arjuna melawan Duryodhana di medan Kurukshetra. Mahabharata juga adalah intisari pengalaman lautan kehidupan insan mempertahankan kebenaran melawan kedurjanaan. Permusuhan antara baik dan jahat yang terus-menerus muncul berkesinambungan. Dan waktu tidak pernah mungkir, sebab ia kekal abadi. Waktu adalah utusan bagi menyampaikan hikayat yang gemilang dalam sejarah kehidupan manusia menerusi Kitab Suci Veda.

WARISAN VEDA

Menurut paradigma penganut Hindu, Veda adalah sumber segala dharma - kebenaran. Dan tidak ada agama besar di planet ini yang tidak dipengaruhi oleh Veda. Kisah kemunculan semua agama besar dunia adalah berdasarkan Veda. Meskipun penganut agama lain dikatakan sebagai telah melupai akarnya, namun hanya ada satu agama, Hindu yang sentiasa menjaga api kebijaksanaan Veda agar selamanya menyala.

Untuk memahami paradigma Hindu, kita perlu menoleh ke belakang, puluhan ribu tahun yang lalu, ke dalam sebuah wilayah India, di mana sebuah peradaban agung pernah lahir, dari pencapaian pengetahuan mereka, lahirlah sebuah jalan hidup yang akhirnya dikenali sebagai Hindu. Tamadun mereka dikenali sebagai Peradaban Lembah Sungai Indus, dan pengetahuan mereka dikumpul dalam sebuah naskah suci yang dikenali sebagai Veda. Veda bermakna pengetahuan yang berasal dari akar kata Sanskrit - Vida yang bermakna untuk mengetahui.

Pengetahuan Veda telah diwariskan dari generasi ke generasi semasa penganut Hindu dengan arahan yang amat tegas, bahawa apapun yang terjadi, satu huruf pun tidak boleh diganti dari naskah asalnya. Kawalan yang amat ketat ini telah dilakukan untuk mengekalkan kemurnian Veda. Veda terbahagi kepada dua bahagian. Pertama disebut Sruti, yang bermakna didengar, dan yang kedua disebut Smrti yang bermakna diingat.

WAKTU SEBELUM WAKTU

Laluan yang tidak pernah ditempuh sebelumnya, adalah perjalanan yang mempesonakan dan kebijaksanaan Veda akan membawa kita ke belakang, jutaan tahun yang lalu, bahkan ke zaman waktu sebelum ada.

RAHIM EMAS

“Sebelum penciptaan adalah rahim emas, ia adalah tuan dari segala yang lahir. Ia memegang bumi dan syurga.” (Rig Veda 10.121.1).

Penciptaan adalah kehendak yang maha kuasa. Sebelum penciptaan segala yang ada, adalah dalam bentuk tidak wujud. Bentuk tidak wujud ini disebut rahim emas, rahim bagi alam semesta, rahim bagi matahari, bintang dan segala galaksi yang terbentuk. Lantaran itulah, maka emas adalah warna kuasa dalam naskah Veda. Siapa yang tahu, siapa yang memberitahu dari mana dan mengapa penciptaan lahir, siapa yang tahu dari siapa alam semesta ini dilahirkan, dari siapa penciptaan ini dilahirkan. Keadaan sebelum penciptaan jauh di luar jangkauan pancaindera manusia. Yang ada hanyalah kosong dan segala yang kelihatan belum ada. Belum ada ruang dan waktu. Tidak ada jasad yang wujud. Ini merupakan konsep yang sangat penting dalam kosmologi Veda. Big Bang mengatakan bahawa semua jasad yang wujud di alam semesta ini muncul dari satu titik. Namun, mantra Veda menyatakan bahawa alam semesta ini adalah sama sekali kosong pada awalnya.

“Pada mulanya sama sekali tiada apa. Tiada syurga, tiada bumi dan tiada atmosfera.” (Taittiriya Brahmana 2.2.9.1).

PENCIPTAAN

Mantra (10.129.4) menjelaskan bahawa alam semesta dicipta dari keinginan yang maha kuasa. Jelas bercanggah dengan teori evolusi yang mendakwa bahawa kewujudan alam semesta hanyalah fenomena yang kebetulan.

Mantra (10.129.7) menjelaskan bahawa yang maha kuasa bersemayam di Parama Vyoma. Vyoma bermakna langit, Parama bermakna yang terjauh. Justeru, yang maha kuasa berada jauh di luar jangkauan kearifan manusia yang tertakluk kepada ruang dan waktu.

BRAHMANDA (TELUR YANG MENGEMBANG)

Perkataan dunia dalam bahasa Sanskrit ialah Brahmanda yang merupakan gabungan dari dua akar kata Brahma dan Anda. Brahma berasal dari akar kata Brha yang bermakna berkembang dan Anda yang bermakna telur. Oleh sebab itu, Brahmanda bermakna telur yang mengembang. Tegasnya, alam semesta digambarkan sebagai telur dalam semua naskah Pasca Veda, dan kelihatan ada persamaan dengan konsep sains moden. “Dari lapan putera yang lahir dari Aditi, hanya tujuh yang dibawa kepada dewa, Martanda ditinggalkan. Tujuh putera Aditi pergi ke masa sebelumnya. Untuk kelahiran dan kematian manusia, Aditi menerima Martanda semula.” (Rig Veda 10.72).

MARTANDA (TELUR MATI)

Mantra di atas menyetakan tentang Martanda yang bermakna telur mati. Maksud telur ialah alam semesta ini. Telur mati bermakna alam semesta tanpa kehidupan.

Kehidupan muncul dalam paradigma Hindu bukan dengan cara kebetulan. Namun, alam semesta berkembang untuk menjadi wujud dalam bentuk keseimbangan yang lemah. Dan menurut paradigma Veda alam semesta tidak berkembang secara berterusan, tetapi selepas mengembang pada awalnya akan menguncup semula pada akhirnya. Inilah makna dari Aditi yang pergi ke masa sebelumnya.

“Aditi mempunyai lapan putra. Hanya tujuh dari mereka yang disebut Aditya. Yang kelapan, Martanda, tidak mempunyai bahagian tubuh yang boleh dibahagi. Para Aditya melihat Martanda tidak sama dengan mereka, jadi mereka membahagi tubuhnya. Kemudian ia menjadi seorang manusia. Ia diberi nama Vivasvana dan semua manusia lahir dari dia.” (Satapatha Brahmana 3.1.3.3-4).

“Setelah mencipta alam semesta dan manusia, Prajapati pergi tidur.” (Taittiriya Brahmana 1.2.6.1), semacam ada persamaan dengan Perjanjian Lama yang menyatakan bahawa: “Tuhan berehat pada hari ketujuh setelah menyelesaikan pekerjaannya.” (Genesis 2.2).

BATAS ALAM SEMESTA

Menurut kosmologi Veda, alam semesta berbentuk seperti telur yang mempunyai batas, dan di luar alam semesta ada alam sepuluh dimensi. Batas alam semesta ini adalah tempat berlakunya pertempuran antara baik dan jahat, dewa dan raksasa serta Tuhan dan syaitan.

PERTEMPURAN INDRA DENGAN VRTRA

Wira terbilang yang mempertahankan kebaikan dalam Veda digambarkan sebagai Indra, sedangkan kepala segala kejahatan adalah Vrtra. Indra juga disebut sebagai Purandara yang bermakna yang membelah pura - kota. Pura bukanlah kota biasa, tetapi adalah alam semesta, lantaran itulah, maka sumber utama alam semesta adalah Purusa - Tuhan. Justeru, Purandara bermakna yang membelah alam semesta. Vrtra pula bermakna yang menutupi alam semesta: “Vrtra menutupi kesemua Tri Loka.” (Taittiriya Samhita 2.4.12.2).

PERANAN INDRA

“Siapakah yang meredakan getaran bumi, yang meredakan kemarahan gunung-ganang, ia yang mengukur luasnya angkasa, ia yang menopang langit, ialah Indra, wahai manusia. Siapakah yang membunuh ular dan menyebabkan tujuh sungai mengalir, yang mengeluarkan sapi-sapi yang disembunyikan oleh Bala, yang mencipta Agni dari dua buah batu, yang membunuh musuh dalam peperangan, ialah Indra, wahai manusia. Kepadanya bumi dan langit bersujud, yang kekuatannya menakutkan gunung-ganang, ia yang meminum dan melindungi soma, yang membawa vajra ditangannya, ialah Indra, wahai manusia.” (Rig Veda 2.12).

PROSES PENCIPTAAN MANUSIA

Menurut paradigma Hindu, alam semesta dicipta dalam suatu proses yang sangat panjang. Pada mulanya alam ini kosong, yang ada hanyalah Tuhan, sering disebut sebagai zaman: “duk tan hana paran-paran an rawang an ruwung” yang bermaksud: “ketika itu belum ada apa-apa dan semuanya belum menentu.”

Dengan kuasa Tuhan telah mencipta unsur utama yang disebut Purusa, iaitu roh sebagai asas yang menghidupkan segala makhluk, sama ada makhluk yang maujud mahupun yang mujarad. Lima jasad maujud atau panca maha bhuta; iaitu akasa – angkasa, bayu – angin, teja – cahaya, apah - zat cair dan pretiwi - zat padat.

Kelima-lima unsur alam ini pada mulanya masih dalam bentuk Paramanu atom. Gabungan kelima-lima unsur ini telah menghasilkan wujud baru yang disebut Brahmanda, iaitu segala planet dan bintang sebagai sebahagian dari isi alam semesta. Brahmanda maknanya benda bulat berbentuk telur ciptaan Brahman. Setelah alam semesta tercipta barulah Tuhan mencipta isinya, seperti haiwan, tumbuhan dan manusia.

Proses penciptaan manusia adalah sari dari panca maha bhuta, iaitu enam jenis rasa, seperti manis, pahit, masin, masam, pedas dan kelat. Semua unsur ini telah berpadu dengan unsur lain, iaitu cita, budi, ahangkara, dasendria, panca tanmatra dan panca maha bhuta. Sebatian kesemua unsur ini telah menghasilkan dua unsur benih kehidupan, iaitu sukla - benih lelaki dan swanita - benih perempuan. Yang demikian, maka terciptalah manusia.

Manusia pertama ciptaan Tuhan dalam ajaran agama Hindu ialah Syayambhumanu, yang bermaksud makhluk berfikir yang mengembangkan dirinya sendiri. Manu maknanya berfikir. Dari akar kata Manu timbul kata manusia yang bermaksud keturunan Manu. Selanjutnya, setelah manusia pertama tercipta atas kehendak Tuhan, maka manusia itu sendirilah yang berkembang. “Dahulu kala Prajapati mencipta manusia bersama bhakti persembahannya dan berkata dengan ini engkau akan berkembang biak dan biarlah dunia ini menjadi sapi perahanmu.” (Bhagavad-Gita iii Sloka 10).

Om Shanti Shanti Shanti Om.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar